Amalan Rasuah dan Langkah-langkah Menanganinya
Oleh: Nana Amira Amir Hussin
Era digital ini menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang begitu rancak. Namun dalam usaha menuju era globalisasi dunia tanpa sempadan, Malaysia terpaksa bersemuka dengan satu penyakit sosial yang agak kritikal sehingga boleh meranapkan peradaban bangsa kita, iaitu amalan rasuah. Kita singkap laporan rasuah oleh Transparency International 2010 yang melaporkan bahawa Malaysia masih lagi berada di tangga 56 pada Indeks Persepsi Rasuah. Walaupun isu ini hangat diperkatakan, pernahkah terlintas dalam benak fikiran anda apakah maksud "rasuah"? Perkataan rasuah berasal daripada perkataan Arab yang berbunyi al-risywah. Dalam Al-Quran juga digolongkan dalam kata umum batil iaitu meliputi juga perbuatan jenayah yang lain seperti merompak, memeras ugut dan menipu. Terdapat beberapa definisi lain yang diberikan oleh beberapa pihak yang pakar dalam bidang ini. Dalam kamus Concise Law Dictionary, P.G. Osbome memberi definisi "bribery and corruption" sebagai perbuatan "giving or offering any reward to any person to influence his conduct; or receipt of such reward". Manakala John B. Saunders pula dalam kamus Mozley and Whiteley's Law memberikan definisi "the taking and giving money for the performance or non-performance of a public duty."Dalam ruang lingkup di biosfera ini, rasuah adalah wabak penyakit dan jenayah yang telah menular dan menjadi darah daging dalam kehidupan masyarakat di semua tempat. Tidak ada negara yang boleh mendakwa dirinya bebas dari rasuah, cuma yang boleh membezakan pada tempoh satu-satu masa hanyalah dari segi keseriusan jenayah rasuah yang berlaku. Menurut Badan Pemerhati Rasuah Antarabangsa indeks rasuah di negara ini juga membengkak setiap tahun. Barah penyakit sosial ini kian parah umpama tumor yang tumbuh tanpa rawatan rapi. Apa yang menakutkan dan membimbangkan kita ialah jika keadaan amalan jenayah rasuah ini terus meningkat, maka amat dikhuatiri akan mengancam kestabilan politik, ekonomi dan negara kita. Hadis Rasulullah juga ada menyebut dengan ertinya :
"Rasulullah s.a.w telah melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah dalam penetapan keputusan (pemerintahan, pentadbiran, kehakiman dan lain-lain)"
(Riwayat At-Tirmidzi, 3/622 : Imam Tirmidzi berkata : Hadis Hasan Sohih).
Selain hadis, Al-Quran juga menyebut:
" Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui."
(Al-Baqarah : 188 )
Secara tuntasnya , langkah untuk mengatasi endemik ini harus diteliti dan dipantau oleh semua pihak dengan efektif. Perubahan paradigma masyarakat terhadap rasuah perlu berlaku terlebih dahulu jika masalah ini hendak diatasi ke akar umbinya. Sikap tidak endah dalam mengatasi masalah ini menyebabkan negara kita ketinggalan atau 'lagging' ke belakang negara maju yang lain. Mungkin konsep mencegah lebih baik daripada mengubati amat berkesan bagi memastikan rasuah terus dikuburkan dan ditalkinkan di tempat yang sepatutnya.
Rasuah jika tidak dikawal dan diperangi habis–habisan dari awal lagi akan memberi kesan buruk terhadap sistem pentadbiran negara . Penyakit ini juga akan turut menggugat kestabilan sosial negara . Apatah lagi ketika kerajaan sedang mencanangkan program pembangunan perindustrian yang bertujuan menjadikan Malaysia sebuah negara maju . Gejala ini akan menjejaskan keyakinan orang ramai terutama pelabur asing terhadap kecekapan dan keberkesanan sistem perundangan serta birokrasi negara ini . Rasuah juga tidak boleh dimulakan kerana akan berlarutan dan ketagihan . Setelah sebati dengannya , maka wabak berbahaya ini merebak menjangkiti orang lain pula . Rasuah menyebabkan seseorang menjual prinsip , maruah dan harga diri . Masyarakat yang mengamalkan rasuah akan bertindak di luar batasan dan peraturan yang telah ditetapkan .
Kesan amalan rasuah terhadap ekonomi ialah rasuah mempersulit kemajuan ekonomi apabila kecekapan menurun selain mengubahsuaikan sistem yang selama ini diterima pakai dan efektif. Dalam sektor swasta, perbelanjaan akan meningkat kerana wujudnya perbelanjaan "di luar akaun", belanja perundingan dengan pejabat yang korup (duit kopi?), dan serta risiko pembatalan konsesi. Walaupun ada yang menyatakan bahawa rasuah mengurangkan kos kerana birokrasi berjaya "dicairkan", penyelidikan terbaru mendapati hal demikian tidak berlaku, sebaliknya lebih tinggi lagi kosnya kerana pejabat korup tersebut akan membuat lebih banyak peraturan dan hambatan yang baru. Rasuah juga menjejaskan persaingan dalam perniagaan dan pasaran seluruhnya apabila syarikat tertentu yang mempunyai "hubungan" dilindungi daripada persaingan, lantas melahirkan industri yang tidak berdaya maju.
Rasuah menimbulkan kekacauan dalam sektor awam apabila perbelanjaan awam untuk projek-projek kemasyarakatan yang sememangnya banyak, naik mendadak kosnya, sehingga melepasi peruntukan awal. Jabatan awam (mungkin juga kontraktor) mungkin "mengubahsuai" projek tersebut (selepas menerima peruntukan daripada peringkat kerajaan yang lebih tinggi, misalnya), walaupun sebenarnya tidak diperlukan, sebagai usaha menyorokkan rasuah yang berlaku. Kemudiannya, keselamatan, keselesaan, dan kesan alam sekitar projek tersebut menjadi pertaruhan . Rasuah juga menjejaskan kualiti perkhidmatan sektor awam dan infrastruktur yang dirancangkannya, sekali gus mengenakan tekanan yang hebat kepada belanjawan bajet kerajaan.
Para pakar ekonomi berpendapat, antara punca ekonomi beberapa buah negara Asia dan Afrika berkembang lemah, terutama di Afrika, ialah rasuah yang berbentuk "penagihan sewa" yang menyebabkan perpindahan penanaman modal ke luar negara, bukannya dilaburkan di dalam negara (yang sering kali disebut orang betapa ramai diktator Afrika mempunyai akaun bank di Swiss). Berbeza pula dengan diktator di Asia, seperti Suharto yang sering meminta sogokan (daripada setiap biaya atau keuntungan projek), namun lebih memberikan perhatian dalam pelaburan dalaman, seperti dalam projek prasarana, kewangan, perbankan, dan lain-lain (yang bermanfaat kepada rakyat jelata Indonesia). Pakar daripada Universiti Massachussetts memperkirakan, dari tahun 1970 hingga 1996, "pelarian" modal 30 buah negara Sub-Sahara berjumlah sekitar US $187 bilion (RM710.6 bilion); melebihi jumlah hutang luar negara-negara tersebut! (Hasilnya, Mancur Olson mengutarakan model ekonomi tentang pembantutan pembangunan). Dalam kes Afrika lagi, antara punca lain termasuklah ketidakstabilan politik; dan kerap kali kerajaan baru yang berjaya menggulingkan pemerintah lama, merampas segala harta kerajaan terdahulu yang diperoleh daripada rasuah. Mereka kemudiannya akan melakukan perkara yang sama, tanpa henti, dan menyimpan hasilnya di seberang laut untuk persiapan "masa-masa sukar"
Kesan kepada kesejahteraan negara ialah "Rasuah politik" berlaku di banyak negara dan mengancam jutaan manusia. Rasuah politik bererti "kebijaksanaan" pemerintah kerajaan memberikan pelbagai faedah istimewa kepada penyogok, jauh sekali demi kesejahteraan rakyat terbanyak. Dari satu sudut yang lain, para politikus memainkan peranan melindungi syarikat tertentu (lazimnya entiti yang besar), yang sebenarnya cuba menguburkan perusahaan yang lebih kecil yang baru bertatih. Mereka memang pintar melindungi syarikat yang telah menaja kempen-kempen politiknya sahaja. Rasuah yang wujud dalam bidang politik dan pentadbiran mungkin berbentuk sama ada ringan atau berat, terancang atau tidak. Rasuah tidak sekadar memudahkan atau menggalakkan jenayah seperti pelacuran, pemalsuan wang, cetak rompak, dan penyeludupan. Kesannya lebih meluas lagi. Untuk memahami masalah ini dan mencari rumusannya, sangat penting untuk membezakan antara rasuah dengan perilaku jenayah (dalam erti kata yang lebih luas). Sama ada sesuatu perilaku dianggap rasuah atau tidak bergantung pada praktik undang-undang di wilayah berkenaan. Contohnya, pendanaan parti politik untuk pilihan raya dianggap satu bentuk rasuah di negara tertentu tapi dianggap legal di tempat lain.
Kesan kepada demokrasi ialah musuh pembangunan. Dalam dunia politik, rasuah menjejaskan perjalanan demokrasi dan pentadbiran yang cekap apabila formaliti diabaikan. Rasuah dalam pilihan raya atau pemilihan umum lain dan dalam badan perundangan merosakkan akaun libiliti dan kecekapan, juga rasuah dalam sistem pengadilan pula mencabul ketertinggian undang-undang dan rasuah dalam pentadbiran awam menjejaskan keseimbangan dan kesaksamaan sosial. Secara umum, rasuah mengikis kemampuan sesuatu sistem kerana tidak tepat prosedur, kemerosotan sumber daya usaha, dan pejabat diiktiraf oleh jabatan bukan kerana prestasi. Keseluruhannya, rasuah menghancurkan kepercayaan masyarakat terhadap sistem-sistem yang ada.
Apakah langkah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah rasuah ini? Sudah pasti tindakan awal ialah kerajaan membuktikan kesungguhan mereka dalam menangani kemelut ini dengan menahan, mendakwa dan menghukum pesalah-pesalah rasuah tanpa mengira kedudukan mereka. Rakyat masih beranggapan bahawa masih ada pihak-pihak tertentu yang mengambil rasuah tetapi mereka tidak dibawa ke muka pengadilan yang menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat akan keikhlasan kerajaan menangani isu ini. Kesungguhan kerajaan mendakwa atau menyeret mereka ini ke mahkamah akan memberi satu peringatan agar mereka tidak mengambil rasuah pada peringkat awalnya. Sesungguhnya, tindakan tegas kerajaan mendakwa semua pihak yang terlibat tanpa memilih bulu akan memberi petanda bahawa pengamal rasuah akan menerima hukuman yang setimpal dan menakutkan mereka untuk melakukan jenayah ini. Usaha kerajaan untuk menakutkan pesalah rasuah dan masyarakat boleh dicapai menerusi satu kempen iklan yang efektif. Kempen yang dilancarkan itu mestilah menggunakan media massa secara holistik iaitu daripada akhbar hinggalah ke internet untuk memastikan semua khalayak masyarakat menerima kempen tersebut. Semua imej atau aksi yang dipaparkan melalui iklan itu mestilah berupaya meninggalkan kesan atau menjadikan masyarakat berfikir dua kali sebelum mereka menerima rasuah. Jadi, kempen yang begitu mudah tetapi berkesan menjadi satu wahana yang baik dalam peperangan memerangi amalan rasuah ini. Selain itu, siasatan dan penguatkuasaan undang-undang perlu dipergiat lagi agar masyarakat sedar betapa bahaya dan serius masalah rasuah jika tidak dibanteras dan dibendung untuk keselamatan negara. Selain itu para pengamal rasuah akan berfikir banyak kali sebelum cuba melakukan rasuah lantaran hukuman berat yang bakal diterima.
Seterusnya, penerapan konsep keagamaan dan moral hendaklah dilakukan terutama di sektor pendidikan negara seperti dalam kalangan pelajar sekolah dan universiti. Usaha menerapkan konsep murni sebegini perlu dilakukan pada peringkat awal kehidupan seseorang itu supaya mudah untuk mengawalnya. Semua konsep yang baik dijelaskan kepada pelajar supaya mereka memahami keperluan untuk membebaskan diri dan negara daripada ancaman rasuah ini. Ringkasnya, pendidikan kepada golongan muda berupaya menyekat penularan wabak sosial yang begitu memalukan ini dengan begitu mudah dan berkesan. Tambahan pula, kita sebagai seorang yang beragama Islam perlu memantapkan iman dan mengukuhkan jati diri kita untuk mengelakkan diri daripada gejala rasuah ini. Keimanan dan keperibadian yang tinggi adalah benteng yang paling ampuh untuk membanteras gejala rasuah. Apabila setiap individu bencikan rasuah sama ada rakyat biasa, pemimpin,peniaga, atau jentera kerajaan maka amalan rasuah dapat diatasi. Kekuatan Iman dan jati diri dapat menangkis habuan rasuah sekali pun tiada sesiapa yang tahu dan peluang terbuka luas di hadapan mata.
Pihak sekolah juga perlu memainkan peranan penting untuk mendidik anak-anak bangsa supaya menjauhi gajala ini. Benci kepada rasuah akan dapat dihayati dalam diri sekiranya diajar dan dididik sejak zaman persekolahan lagi. Generasi yang dididik agar membenci rasuah akan membesar menjadi individu yang lebih bertanggungjawab, amanah, ikhlas. Sistem pendidikan hanya membentuk generasi akan datang yang bebas daripada rasuah.
Konklusinya, semua faktor dan langkah mengatasi kemelut sosial ini harus diteliti dan dipantau oleh semua pihak dengan berkesan. Perubahan paradigma masyarakat terhadap rasuah perlu berlaku terlebih dahulu jika masalah ini hendak diatasi hingga ke akar umbinya. Kelewatan untuk mengatasi masalah ini mampu menjadikan negara kita satu negara yang begitu sukar untuk dipercayai dan diuruskan pada masa hadapan. Mungkin konsep mencegah daripada mengubatinya lebih berkesan dalam memastikan rasuah terus berkubur dalam tempat yang sepatutnya. Sesungguhnya masyarakat yang kehilangan nilai amanah akan ditimpa krisis kepercayaan . Oleh itu , semua pihak perlu menjauhi sifat tamak yang boleh menyebabkan perbuatan rasuah serta mengelakkan diri daripada berbelanja melebihi pendapatan . Berikutan semakin seriusnya usaha menangani gejala ini , rakyat sangat berharap tiada sesiapa akan terkecuali daripada tindakan undang – undang . Martabat atau parti politik bukan payung yang melindungi sesiapa daripada penghakiman dan hukuman. Kita yakin bahawa hukuman yang setimpal boleh menerbitkan perilaku baik seseorang . Sehubungan itu , dalam memerangi gejala ini , semua pihak perlulah bertindak secara menyeluruh dan berterusan . Jika kita sepakat melakukannya , tiada sebab kita akan gagal . Nabi Muhammad s.a.w bersabda
"Sesungguhnya kebinasaan umat-umat sebelum kalian adalah jika orang yang terhormat dari mereka mencuri, mereka membiarkannya, tetapi jika orang bawahan mereka mencuri, mereka potong tangannya. Demi Zat yang jiwa ku ada di tangan Nya, seandainya Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya akan aku potong tangannya!"
No comments:
Post a Comment