Wikipedia

Search results

Saturday, 26 February 2011

RIAK AIR MUSIM TENGKUJUH

Sayu. Sayu benar hatinya. Entah kenapa petang itu hatinya sayu.  Hampir seminggu tinggal di situ telah membuatkan hatinya mudah tersentuh. Biarpun oleh hal yang remeh. Hal yang sebelum ini tidak pernah diendahkannya. Apatah lagi memikirkannya. Kini hal-hal sebeginilah yang selalu bermain di benak fikirannya.

Longlai saja langkah Pak Mail menuju ke bilik penginapannya di bilik 3 Blok F Smk Seri Purnama. Di bilik itulah dia menghabiskan masa seminggunya untuk memikirkan hal-hal yang semakin menghimpit hatinya sehingga terasa begitu sukarnya untuk bernafas. Ada keharuan yang melambai dada tuanya. Di dalam kawasan seluas dua meter kali dua meter itulah dia melepaskan lelahnya. Pak Mail tak kisah pada itu semua. Pak Mail sanggup berkongsi segala kedukaan dan kegembiraan bersama-sama dengan para penghuni yang lain. Penghuni yang senasib dengannya. Kini Pak Mail semakin serasi dengan situasi di sekitarnya. Situasi yang baru tercipta sejurus datangnya tamu agung. Situasi yang boleh menggugat kesabaran dan keimanan seseorang. Pak Mail reda kiranya sudah tersurat  bahawa itulah nasib yang harus diterimanya dengan pasrah. Dengan reda. Dengan penuh kesyukuran. Pak Mail tak akan tersentak dari lenanya kiranya Nana Amira menangis minta dibuatkan susu. Pak Mail tak akan mengherdik kiranya Si Daus anak Dol Hadi tersandung kakinya. Pak Mail juga masih mampu tersenyum kiranya ada  antara kaum ibu yang memuncungkan bibir ketika beratur di tengah panas untuk mengambil habuan pada waktu tengah hari dan hampir maghrib. Dan Pak Mail juga terbiasa dengan segala usikan kaum hawa yang menghuni pusat itu sepertinya.

Pak Mail sedar , ketika di penghujung usia itulah akan dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Pak Mail berazam untuk menabur sedikit bakti kepada penghuni-penghuni di situ. Pak Mail dengan senang hati menuangkan air panas untuk para penghuni pada setiap pagi dan petang . Pak Mail dengan riang membancuh kopi O dan teh setiap pagi dan petang. Sebelah malamnya pula Pak Mail tidak pernah lupa membancuh kopi. Para penghuni yang senasib dengannya sudah arif benar dengan rasa kopi kaw Pak Mail. Anak-anak dara sunti tersenyum-senyum apabila ada mak-mak dara yang menggiat mereka. Kalau nak belajar membancuh kopi belajarlah dengan Pak Mail. Pasti keenakan kopi tersebut dapat memikat bakal si suami. Begitulah kata mereka. Pak Mail tak pernah ambil pusing dengan telatah mereka semua. Pak Mail tersenyum mengenangkan itu semua; pengalamannya sejak menjadi penghuni di situ. Bagi Pak Mail kemanisan zaman mudanya sudah lama berlalu. Zaman Pak Mail menggilai Jenab sudah jauh ditinggalkannya. Hanya sesekali sekelumit  kenangan ketika bersama Jenab melintasi taman hati Pak Mail. Berbunga hati Pak Mail apabila mengenangkan itu semua. Ingatannya sering diundang untuk menarik-narik peristiwa itu kembali agar terpancar di layar ingatan. Jenab...di manakah agaknya engkau kini ? Berapa orangkah anak-anak engkau? Pastinya keluargamu telah memilihkan jodoh yang baik buat mu.  Pak Mail tidak pernah lupa untuk mendoakan kesejahteraan Jenab setiap kali dia bermunajat selepas solat. Biasanya Pak Mail bermunajat panjang memohon keampunan atas segala dosa-dosa masa silamnya. 

Lamunan yang sekelumit cuma telah menggamit hati Pak Mail untuk menerawang jauh ke zaman mudanya. Jodoh yang tak kesampaian membuatkan Pak Mail mengambil keputusan untuk tidak menerima cinta selain cinta Jenab. Begitulah tingginya harapan cinta Pak Mail terhadap Jenab. Pernah suatu hari Pak Mail diejek oleh sekumpulan budak-budak lelaki.  Mereka memanggil Pak Mail gila. Pak Maill gila bayang. Pak Mail mati celik mata. Semuanya kerana tingginya cinta Pak Mail terhadap Jenab. Kini Pak Mail sudah lali dengan senario begitu. Pak Mail tak pernah gaduh hanya kerana penggilan oleh budak-budak tersebut.

“Pak Mail,  apa juga yang dimenungkan tu…jauh nampaknya. Saya agak, jauh melepasi bukit Inas. Jauh melepasi tasik botani,” giat Jali.
“Eh, kamu Jali, tak ada apa-apalah,” balas pak Mail pendek sambil menyeka matanya dengan hujung lengan bajunya. Tanpa disedari air matanya menggenangi kelopak matanya yang kian layu. Layu kerana dimamah usia. Ada manik-manik jernih menempiasi pipinya.
“Saya perhatikan dari tadi Pak Mail bagai sedang berakap dengan seseorang,” Jali cuba mengorek dengan lebih mendalam perkara yang sedang bermain-main di lubuk hati Pak Mail.
“Kalau aku beritahu kamu nanti orang kata aku gila pulak,” kata Pak Mail.
“Eh takkan pulak saya nak kata macam tu Pak Mail,” Jali mula menyedari pak Mail berbicara dengan agak serius . Tidak seperti bicaranya pada hari-hari lain.
“Ginilah Jali, aku mula sedar apakah tujuan aku hidup, apakah kesudahan hidup aku nanti, yalah apabila usia dah menghampiri senja begini aku kena buat persiapan, setidak-tidaknya aku nak memohon keampunan-Nya, sebelum aku menutup mata. Aku ada jumpa dengan Imam Hassan tempoh hari, ada Imam tu ajarkan aku sedikit doa. Jadi yang engkau lihat tadi tu aku sedang menghafal doa-doa itulah. Yalah…lambat pulak  aku nak menghafalnya. “ tulus sahaja bicara Pak Mail.
“Maafkan saya Pak Mail, saya dah mengganggu Pak Mail pula, saya minta dirilah, kebetulan saya nak keluar ke pekan. Ada Pak Mail nak kirim apa-apa? Nanti boleh saya belikan,”  kata Jali.
“Eh, boleh juga, kebetulan rokok aku pun dah habis, sejak semalam aku tak merokok,” kata pak Mail.
Jali pun bergegas ke motosikal Modenas Kriss  GT128 yang baru dibelinya bulan lepas. Dia menghidupkan enjin dengan elektrik starternya . Dia membiarkan enjin Modenasnya melahu sekejap. Setelah enjin motosikalnya agak panas barulah dia memacu motosikalnya menuju ke pekan Seri Medan. Pak  Mail mengekori gelagat Jali dengan hujung ekor matanya. Mudah-mudahan murah rezeki Jali, bisik hati Pak Mail.

Pak Mail melabuhkan punggungnya di bangku kayu yang terletak di belakang kantin berhampiran dengan tempat memasak.  Dia menggeliat seketika. Pak Mail menyandarkan tubuh tuanya di kerusi kayu itu. Pak Mail hanyut dalam keindahan mimpi di taman hatinya.

Mimpi Pak Mail terganggu oleh deruman enjin motosikal Jali. Pak Mail bangkit sambil menggosok-gosokkan matanya. Dia mengamat-amatinya dengan teliti. Pandangan Pak Mail agak kabur sejak akhir-akhir ini. Lebih-lebih lagi selepas dia menjalani pembedahan membuang serpihan besi yang menusuk matanya.
“Oh kamu Jali, mana rokok aku?” tanya Pak Mail  tak sabar-sabar.
“Ha ada ni,” kata Jali sambil mengunjukkan sekotak rokok Gudang Garam Menthol kegemaran Pak Mail.
“Nah ini duitnya, Jali,” kata Pak Mail.
“Tak payahlah Pak Mail, saya belanja Pak Mail hari ni, kan selalu Pak Mail dah bancuhkan kopi untuk saya dan para penghuni yang lain,”  kata Jali sambil memparkir motosikalnya di bawah pokok manga.

Mak Esah  memerhatikan gelagat dua lelaki berlainan generasi dengan penuh minat. Dia mencebikkan bibirnya tanda protes atas perbuatan Jali.
“Kalau dah kaki rokok tu sama saja, sanggup tak makan asalkan dapat rokok,”  Mak Esah bermonolog.
“Eh, tak baik Mak Esah kata macam tu, nanti kalau didengar Pak Mail tu kecik pula hati orang tua tu, lagipun kan dia tu ringan tulang, sebab tu Jali tak berkira dengan Pak Mail tu,” kata Senah mempertahankan Pak Mail.
“Amboi-amboi, sedapnya anak dara ni bercakap, yang kamu beria-ia mempertahankan Pak Mail tu kenapa? Kamu berkenan ke dengannya?”  Mak Esah mula memalu genderang perangnya. Kali ini Senah pula yang menjadi lawannya.
“Kalau saya berkenan dengan Pak Mail tu kenapa? Tak layakkah saya untuk Pak Mail?” Senah mula mencurahkan petrol ke bara yang mula membakar.
“Gatalnya anak dara ni, eh Senah sedarlah sikit, engkau tu baru dua puluh tahun, Pak Mail tu dan enam puluh tahun tau, dan layak engkau panggil datuk,  kat sana tu kan ke ramai lelaki yang lebih muda, lebih sesuai untuk engkau,” beria-ia benar Mak Esah menyampaikan khutbah perangnya.
“Mak Esah, soal hati ni bukan boleh dipaksa-paksa, semuanya ketentuan-Nya, reda sajalah dengan kada dan kadarnya.  Kalau dah tersurat itu jodoh saya, saya rela, lagipun kebahagiaan hidup bukan terletak pada usia, tapi terletak pada sejauh mana kita mensyukuri nikmat-Nya?”  lancar saja bicara Senah.
“Suka hati kamulah Senah,  kalau benar jodoh kamu dengan Pak Mail, ha jangan lupa hantar kad undangan pada Mak Esah ni, ingat tu!” beria-ia Mak Esah.
“Alah, Mak Esah ni saya cuma bergurau saja, kan saya dah bertunang dengan Nabil, “ puas hati Senah apabila dapat mengalahkan Mak Esah dalam perang dingin sebentar tadi.
“Eh, apa yang dibualkan tu, rancak sungguh, ada pulak aku dengar kamu sebut-sebut nama aku, Esah. Tak gitu Senah?” Tanya Pak Mail.
“Tak de apa-apalah Pak Mail, saja saya dan Mak Esah ni bersembang kosong,” pantas Senah menutup bicara. Dia tidak mahu perbualannya sebentar tadi diketahui oleh Pak Mail.

Pak Mail meninggalkan Mak Esah dan Senah. Dia bergegas  ke dapur. Jam Casio digital di tangannya menunjukkan pukul empat petang. Pak Mail menghidupkan api dapur gas. Sementara itu Pak Mail mengisi periuk sebesar 3 gantang dengan air paip. Dalam sejam nanti mendidihlah air yang dijerang oleh Pak Mail . Selepas itu Pak mail mula menyediakan gula, kopi dan teh. Rashid yang sudah masak dengan tabiat Pak Mail mula membantu. Rashid faham benar, Pak Mail tak akan meminta orang lain membantunya selagi dia terdaya.
“Ha Pak Mail, apa menu kita petang ni?’ tanya Rashid.
“Kopi O dan teh O, teh O tu buat lebih sikit, petang-petang begini ramai yang turun mengambil air minuman ni untuk minum petang, jangan sampai tak cukup pulak, lagipun tadi En. Radi memberitahu bilangan mangsa yang menghuni pusat ini dah mencecah seribu empat ratus orang,  kasihan   mereka,” seperti biasa Pak Mail mengingatkan Rashid.
Rashid mengangguk-anggukkan kepala tanda memahami arahan Pak Mail. Seperti biasa Pak Mail akan bercerita tentang kisah zaman silamnya . Biasanya Pak Mail akan bercerita tentang kezaliman askar Jepun sewaktu memerintah Tanah Melayu. Sesekali ada juga Pak Mail menceritakan kisah-kisah peribadinya. Pada Pak Mail tiada salahnya sekiranya dia berkongsi pengalaman dengan generasi muda agar mereka dapat menjadikannya sebagai iktibar. Di dapur sudah kelihatan kaum ibu menyiang ikan, ada juga yang memotong sayur. Ada juga kaum ibu yang duduk-duduk di dapur mendengar celoteh sambil menyusukan anak. Di balai yang bersebelahan dengan balai yang diduduki oleh kaum ibu, kelihatan Pak Ajis, Pak Badar dan beberapa orang jawatankuasa masakan sudah bersedia untuk memasak.  Walaupun Pak Ajis dan Pak Badar berlainan kampung tetapi dalam situasi bencana seperti ini mereka mampu bekerjasama menjadikan segala urusan di dapur berjalan lancar.
“Pak Ajis, ni ada saya bawakan lima tandan pisang kapas, bolehlah dimasak lemak nanti. Kebetulan saya ternampak pisang-pisang ni semasa saya ke kebun pagi tadi,” kata Panjang.
Satu-satunya penduduk berbangsa Cina yang tinggal di kampung Pasir. Walaupun dia tidak berpindah ke pusat itu tetapi boleh dikatakan lebih banyak masanya dihabiskan di pusat itu. Panjang tidak kekok berbual dengan penduduk kampung Pasir. Panjang juga tidak malu-malu untuk menyapa Nenek Siah. Nenek Siah dan Panjang sudah berjiran hampir setengah abad lamanya. Mereka sudah saling menerima seakan-akan satu keluarga.
“Pak Ajis, petang ni kita ada tetamu. Masak nasi dan lauk pauk tu lebih sikit. Boleh kita makan bersama-sama dengan tetamu-tetamu kita tu,” kata Encik Radi. Encik Radi ialah pengetua Smk Seri Purnama merangkap pengurus pusat tersebut.
“Baiklah Encik Radi, er..siapa tetamu kita tu?” tanya Pak Badar yang sedari tadi begitu khusyuk mengikuti perbualan itu.
“YB Datuk Jamil dan rombongannya,” jelas Encik Radi pendek.
Seperti biasa, Cikgu Mamat membuat pengumuman menggunakan sistem siar raya di pusat itu. Masing-masing memberikan perhatian terhadap pengumuman yang dibuat. Seperti biasa juga jawatankuasa kebersihan membuat operasi pembersihan. Tumpuannya pada tandas dan tong-tong sampah.  Kebetulan pula ramai ahli Haluan yang masih berada di pusat itu. Mereka membersihkan pusat penempatan itu bersama-sama. 
Esoknya keharmonian suasana di pusat penempatan itu tiba-tiba terusik dengan insiden yang sungguh tidak terduga oleh Pak Mail. Bahkan juga oleh penghuni-penghuni yang lain.  Begitu pantasnya berita itu merebak. Bagai satu pandermik yang tak dapat dikawal lagi. Heboh. Semua orang di situ mula berbicara tentang Pak Mail. Tak kurang juga yang berbicara tentang Senah. Patutlah sejak pagi tadi Pak Mail dapat merasakan dirinya menjadi perhatian kaum hawa. Dengan pandangan sinis mereka berbisik-bisik sesama sendiri. Pada mulanya Pak Mail tak menghiraukan hal tersebut. Kesabaran Pak Mail akhirnya tercabar juga. Ketika Pak Mail hendak membancuh kopi untuk minuman pagi, Pak mail telah didatangi oleh Mak Leha, ibu Senah.
“Eh Mail, tak kusangka, memang tak pernah ku duga, rupa-rupanya engkau ada hati kat anak aku Si Senah tu!” bagai peluru sub-mesingan menerjah cuping telinga Pak Mail, begitulah tutur bicara Mak Leha pagi itu. Pak Mail juga tidak pernah menduga bahawa Mak Leha yang terkenal dengan budi bahasanya boleh berubah sedemikian.
“Eh Leha, apa yang awak cakap ni? Kalau ia pun cakaplah perlahan sikit, malu kalau didengar orang,” lembut bersahaja tutur kata Pak Mail. Hajatnya agar Mak Leha dapat disabarkan.
“Oh, tahu malu pun engkau, eh Mail, umur engkau tu sebaya dengan Si Jais , laki aku tu. Takkan tergamak engkau nak menghancurkan anak aku, Si Senah tu,” Mak Leha melepaskan kemarahannya.
“Leha, dengar sini, saya memang tak faham langsung, apa maksud awak, cuba awak tengok muka saya ni ada kah macam yang awak katakan tu, Leha saya sedar saya dah tua, dan saya juga sedar saya tak layak buat sesiapapun. Ni saya nak bagi tau awak Leha, cinta dan kasih sayang saya hanya untuk Jenab saja. Itulah sebabnya saya.....” terputus bicara Pak Mail di situ.
“Mail, apa maksud awak?” Mak Leha cuba mendapatkan penjelasan daripada Pak Mail.
“Saya tahu awak tentunya dah terpengaruh dengan cerita yang tak tentu hujung pangkalnya tu...saya juga dah maklum siapa yang sengaja mereka-reka cerita tu...kalau Jais tahu.. saya bimbang kalau-kalau dia salah anggap terhadap saya pula...Leha...semuanya tu karut Leha, karut...fitnah,” tegas saja nada bicara Pak Mail.
“Jadi awak tak ada apa-apa dengan Si Senah tu, Mail?”  tanya Mak Leha lagi.
“Begitulah Leha,” balas Pal Mail ringkas.
“Esah, nanti kau Esah, malu aku,  malu. Mail, aku minta maaf Mail.” Mak Leha mula menyedari kesilapannya.
“Sudahlah Leha, tak baik diikutkan perasaan tu, ingat kata orang ikut hati mati, ikut rasa nanti binasa kita..” seperti biasa Pak Mail tidak menaruh perasaan marah apatah lagi dendam.
“Siap kau Esah....siap kau!” Mak Leha benar-benar marah. Marahnya pada Mak Esah kerana menabur fitnah terhadap Senah dan Pak Mail begitu membuak-buak.
Semua senario itu sudah sebati dengan Pak Mail.  Pak Mail tersenyum puas kerana dapat berbakti di pusat pemindahan banjir Smk Seri Purnama. Riak air musim tengkujuh telah mewarnai kehidupan Pak Mail dan penghuni-penghuni pusat pemindahan itu.


 




No comments:

Post a Comment