Wikipedia

Search results

Saturday, 26 February 2011

KUGAPAI ANGAN KUKENDONG IMPIAN


Fikiran Nisa berkecamuk. Sel-sel neuron otaknya terus ligat memainkan peranan menghantar impuls yang diterima. Dia masih tak dapat melupakan kata-kata Cikgu Naza.  Kata-kata Cikgu Naza begitu mengesankan dalam jiwanya.  Mungkinkan selama ini dia telah gagal menjalankan tugasnya. Seingatnya, tak pernah dia meninggalkan tugas yang dipertanggungjawabkan ke atasnya. Di manakah silapnya. Nisa masih gagal menemukan jawapan. 
“Apa yang harus aku lakukan sekarang?  Aku harus bertindak . Tapi bagaimana aku harus memulai tindakanku itu?” buntu fikiran Nisa.
Nisa berjalan mundar-mandir di dalam bilik 23 Blok A. Di bilik itulah dia telah mengharungi segala kepayahan hidup di kota ini. Tinggal jauh daripada keluarga. Jauh daripada hilai tawa Ama yang mulai pandai bercakap. Kadang-kadang Nisa terbawa-bawa ke dalam mimpinya. Apabila teringat Ama, mahu saja dia pulang ke kampung meninggalkan pelajarannya di kota metropolitan itu. Tapi demi masa depan dirinya dan keluarga, Nisa sanggup mengetepikan semua perasaan tersebut. Sekurang-kurangnya buat sementara ini.
Nisa mengambil akhbar Utusan Malaysia. Seperti biasa akhbar kegermarannya itu dibukanya selembar demi selembar.  Sampai di ruangan kesukaannya iaitu  ruangan surat pembaca, Nisa membacanya satu demi satu.  Cermin matanya hampir terjatuh apabila Nisa terpandang satu surat pembaca. Nisa terus membacanya. Mungkin bagi sesetengah orang surat tersebut sama dengan surat-surat pembaca yang lain. Tetapi bagi Nisa surat kiriman Madam Lee begitu besar impaknya. Jantungnya hampir-hampir terhenti berdegup. Ya Allah, mengapakah begini jadinya generasi bangsaku. Kalaulah Madam Lee  seorang yang tidak berkepentingan telah sanggup meluahkan perasaan hatinya tentu di luar sana ramai lagi yang senada dengan Madam Lee. Kemanatah perginya maruah generasiku.  Generasi yang amat diharapkan untuk dititipkan tanggungjawab memacu kemajuan bangsa dan negara. Kemanakah perginya keindahan akhlak generasi ku. Kalau di tempat awam pun mereka sanggup berkelakuan tidah senonoh apatah lagi di tempat-tempat yang lebih eksklusif.  Bingung Nisa memikirkan apakah yang akan terjadi ke atas generasi muda bangsanya.
Nisa meletakkan akhbar itu di atas meja di sudut kamarnya. Matanya memandang ke luar tingkap. Di luar sana Nisa melihat kehijauan taman botani. Tasiknya yang membiru cukup mendamaikan jiwanya. Udara yang nyaman sedikit –sebanyak telah menyegarkan tubuhnya. Biasanya pada waktu petang begini taman botani akan dikunjungi lebih ramai pengunjung. Gelagat manusia itulah yang sering menjadi tarikan kepada Nisa. Itulah sebabnya Nisa mampu bertahan untuk terus tinggal menyewa di bilik itu walaupun sewanya agak mahal. Ada kalanya dia terpaksa mengikat perut demi melunasi bayaran sewa biiknya. Cabaran begitulah yang telah menjadikan jiwanya begitu kental. Nisa mewarisi kemandirian jiwa ayah dan mamanya.  Ayahnya mewarisi darah campuran jawa dan banjar manakala ibunya mewarisi kacukan darah Cina dan Dusun. Namun ada kalanya Nisa agak cemburu kerana dia tidak mewarisi sedikitpun tampang wajah keluarga sebelah ibunya. Matanya agak sepet tetapi berkulit hitam manis. Namun Nisa bersyukur kerana merekalah Nisa terlahir ke dunia ini.
Di hujung taman botani, di atas bangku batu Nisa melihat sepasang suami isteri sedang melayani kerenah anak kecilnya.Rasa-rasa dalam lingkungan dua tahun usia anak kecil itu. Nisa membandingkan gelagat anak kecil itu dengan Ama adiknya. Nisa memerhatikan keluarga tersebut. Alangkah bersyukurnya anak kecil itu kerana dilayani dengan penuh kasih sayang. Nisa melihat si ibu menyusui anak kecil itu di atas ribaannya. Si bapa pula sibuk mempotret gelagat dua beranak itu dari pelbagai sudut. Alangkah bahagianya keluarga itu. Bisik Nisa di dalam hati kecilnya. Nisa mendambakan saat-saat dia dilayani sebegitu oleh keluarganya.  Ayah…Nisa amat rindukan ayah. Ibu…Nisa amat menyayangimu. Dan Nisa tak sanggup menghampakan mereka. Itulah sebabnya Nisa sanggup menerima tawaran belajar di sekolah menengah teknik walaupun tidak ditawarkan kemudahan asrama. Nisa sanggup menerimanya kerana itulah platform untuknya menggapai impian. Nisa ingin menjadi seorang jurutera pada suatu hari nanti. Tunggulah ayah dan mama saat-saat Nisa menggenggam kejayaan itu buatmu.
Nisa kembali menatap petikan akhbar yang dibacanya sebentar tadi. Gambar sekumpulan pelajar perempuan sekolah menengah yang tidak segan-silu berpelukan di khalayak ramai amat mencemaskan Nisa. Nisa mengagak mereka tentunya pelajar-pelajar berbangsa Melayu kerana memakai seragam baju kurung. Apakah ibu bapa mereka sengaja membiarkan anak-anak mereka berkelakuan sebegitu. Adakah masyarakat hari ini turut merelakan perlakuan sebegitu dipertontonkan kepada mereka.Tidakkah nanti anak-anak kecil yang memandang mereka akan turut teruja untuk berkelakuan sebegitu. Pertanyaan demi pertanyaan akhirnya merimaskan Nisa. Persoalan demi persoalan begitu kerap bertandang mengetuk kamar hatinya. Persoalan demi pesoalan silih berganti memenuhi lautan fikirannya.
Nisa teringat kembali kata-kata Cikgu Naza dalam mesyuarat lembaga pengawas sekolah tengah hari tadi. Patutlah kiranya Cikgu naza begitu kecewa dengan prestasi pelajar sekolahnya. Patutlah Cikgu Naza kecewa dengan kebobrokan akhlak pelajar-pelajarnya.  Dan sebagai ketua pengawas, Nisa turut terpanggil untuk sama-sama memikirkan adakah kes-kes salah salah laku yang berlaku di sekolah itu adalah berpunca daripada kegagalannya melaksanakan tanggung jawabnya sebagai ketua pengawas.  Siapakah sebenarnya yang telah menjadikan pelajar-pelajar itu kehilangan dirinya. Di tengah-tengah perut kota metropolitan itu, yang serba merimaskan, Nisa tidak rela tewas.
Siapakah yang menyebabkan mereka tidak mengenali dirinya sendiri.  Adakah pendekatan berhemah yang diamalkannya di sekolah itu telah menyebabkan rakan-rakan pelajarnya semakin berani.  Nisa kecewa. Jawapan yang dicarinya tidak muncul jua.  Ada kalanya Nisa berasa cukup malu melihat contengan-contengan yang dianggapnya begitu keterlaluan yang dilakukan oleh rakan-rakan di sekolahnya. Pernah juga dia menasihati Noni agar meninggalkan tabiat suka menconteng dinding bilik air. Tetapi bagai mencurah air ke daun keladi..nasihatnya bagai angin lalu..tidak meninggalkan kesan di hati Noni. Nisa juga telah acap kali menasihati Mawar agar jangan suka membuli pelajar-pelajar junior, Mawar tetap juga meneruskan tabiat buruknya itu.
“Hello, Nisa, awak ada di rumah?”. Lamunan Nisa terganggu.  Nisa bergegas melihat siapakah yang bertandang ke rumahnya itu. Nisa melihat di jendela yang menghadap ke taman botani. Dia melihat Dany rupanya yang datang. Dany merupakan rakan sekelas Nisa.Walaupun dia berasal dari negeri di bawah bayu namun dia tidak kekok bergaul dengan rakan-rakan di semenanjung.
“Dany ,“ sapa Nisa dengan riangnya.
“Maaflah kalau kedatangan saya ni cuma mengganggu awak,”  kata Dany sambil matanya mencuri pandang  wajah Nisa.
“Tidaklah Dany, awak tunggu sekejap ya,”  pinta Nisa. Nisa bergegas mengambil sehelai tudung lalu di pakainya. Nisa cukup selesa memakai tudung mengikut fesyen Yuna, artiskesayanganya.  Tudung berwarna pink itu dibiarkannya terbuai-buai ditiup angin petang  tasik botani.
“Nisa, sebenarnya saya datang ni nak minta sedikit pandangan awak, itupun kalau tak mengganggu awak, saya tahu waktu-waktu begini awak selalu sedang study,” kata Dany. Belumpun sempat Nisa menjemput Dany duduk, Dany telahpun melabuhkan punggungnya di atas bangku batu di bawah pokok ketapang di hadapan rumah sewa Nisa. Sebenarnya Nisa agak kurang selesa duduk di situ kerana boleh di salah anggap oleh masyarakat setempat.
“Dany, saya amat berbesar hati dapat berkongsi pengalaman dengan awak, mungkin esok lusa saya pula yang memerlukan pendapat awak, Cuma…cuma apa kata kalau kita duduk di gerai Mak Jah kat depan tu..bolehlah kita bercerita panjang sambil ngeteh, “ pelawa Nisa.
“Apa salahnya,  silakan,” balas Dany.
Dany bangun  sambil mengibas punggungnya. Nisa memerhatikan gelagat Dany tetapi tidak menegurnya. Dany menghampiri Nisa yang sedang memerhatikannya.
“Nisa, sebenarnya saya nak tanya sesuatu ni tapi saya malu…” Dany mula menyuarakan tujuannya menemui Nisa petang itu.
“Kalau awak malu nak kata, tak pe, tunggu kejap,” Nisa bergegas meninggalkan Dany. Nisa menghilang di dalam rumah sewanya. Sebentar kemudian dia berlari-lari anak ke arah Dany.
“Ha, kalau awak malu nak beritahu apa perkara yang awak nak tanyakan saya tu…awak tulislah di sini,” kata Nisa sambil menghulurkan sehelai kertas test pad berlogokan Smk Seri Medan kepada Dany.
“Apa pandapat awak tentang kata-kata Cikgu Naza dalam mesyuarat lembaga pengawas tadi? Saya rasa mungkin kelemahan kita dalam menguatkuasakan peraturan sekolah turut menyumbang pada kenaikan mendadak kes-kes salah laku di sekolah kita. Yalah…sejak akhir-akhir ni…saya bimbanglah,” kata Dany.
“Oh begitu, Dany,  awak nak minum apa? Hari ini saya belanja awak,” tanya Nisa.
“Eh kenapa pula awak yang belanja saya, sepatutnya sayalah yang belanja awak,” kata Dany.
“Kan ke awak tu tetamu saya, kenalah saya meraikan awak,’” terang Nisa lagi.
“Kalau begitu, saya ikut saja…awak order saya minum…, tuan rumah kena layan tetamukan..?”  kata Dany sambil melemparkan senyuman kepada Nisa.
Dany memilih ,meja di tempat yang agak terbuka. Dia berpendapat tentulah agak sopan dan tidak menjadi bahan fitnah masyarakat nanti.
“Mak Jah, bagi saya limau ais dua dan rojak buah,” pinta Nisa.
“Yalah,” kata Mak Jah sambil membancuh air yang dipesan oleh Nisa tadi. Nisa berjalan menuju ke meja yang dipilih oleh Dany.
“Berbalik pada perbincangan kita tadi, saya rasa ada benarnya kata-kata awak tadi…ya..kelemahan aspek penguatkuasaan peraturan telah menyebabkan pelajar-pelajar naik lemak…langsung tak mengendahkan amaran yang diberikan oleh Tuan Pengetua,” kata Nisa. Bersemangat sekali Nisa setiap kali mereka membuka topik yang ada kaitan dengan tugas-tugas pengawas di sekolah. Senyuman bangga menghiasi ulas-ulas comel bibirnya.
“Saya berpendapat cadangan Cikgu Naza untuk memperkenalkan merit de merit amat bertepatan dengan keperluan semasa… pelajar yang bersalah perlu mendapat hukuman yang setimpal..dan dalam masa yang sama mereka berpeluang untuk menebus kesalahan mereka, tentu tindakan ini dapat mengurangkan kes-kes salah laku,” balas Dany.
Perbincangan mereka cukup rancak pada petang itu. Maklumlah selain kedua-duanya menjadi pengawas sekolah, Nisa dan Dany adalah ahli pasukan forum sekolah.  Perbincangan mereka terhenti seketika apabila Mak Jah menghantar pesanan mereka. Nisa dan Dany menikmati minuman petang . Kelihatanya mereka begitu cocok sekali. Sekali pandang mereka kelihatan seperti sepasang kekasih yang sedang memadu asmara . Hakikatnya mereka hanyalah rakan sekelas. Ada waktu-waktunya Dany membayangkan alangkah bahagianya kiranya suatu hari nanti dia mampu menawan hati Nisa. Dan pada waktu yang lain Nisa turut terlontar ke taman hati yang dipenuhi dengan bunga-bunga perasaan. Namun kedua-duanya sedar kehadiran mereka ke sekolah teknik adalah untuk menunaikan amanah dan tanggungjawab terhadap keluarga, agama, bangsa dan negara, Itulah moto sekolah mereka.
Perlahan-lahan Nisa mengeluarkan handphone Nokia X3 hadiah harijadinya yang ke  sembilan  belas. Nisa memainkan lagu kegemarannya Yakinlah Aku Menjemputmu  nyanyian Kangen Band yang berasal dari tanah seberang.  Lagunya begitu menusuk perasaan . Melodi dan lirik yang serasi merupakan kekuatan lagu itu.  Tak jemu-jemu Nisa memutarkannya. Dany hanya memerhatikan perlakuan Nisa.
“Cuba awak dengar lagu ni Dany, saya suka lagu ni, lagu ni sarat dengan nilai kemanusiaan, walaupun masih bertemakan cinta, tapi pada saya cinta yang diiringi dengan tanggungjawab lebih berkat, lebih berpanjangan, apa pendapat awak?” tanpa dipinta Nisa memecah keheningan petang itu.
“Ya, agak sukar menemukan cinta setulus itu,saya setuju dengan pendapat awak,” balas Dany. Berbunga  taman hati Nisa mendengar penjelasan Dany. Jarang benar Dany begitu mudah menerima pendapat orang lain tanpa berdebat terlebih dahulu. Bissanya pendapatnya jangan disanggah, kalau disanggah panjanglah bahasnya.
“Saya rasa esok saya nak bertemu dengan pengetua, saya nak mencadangkan agar kita tak boleh berkompromi dengan pelajar-pelajar yang melakukan salah laku, saya bimbang masalah ini akan berlanjutan,” kata Nisa.
“Seelok-eloknya awak berbincang dulu dengan Cikgu Naza, kan dia penasihat lembaga pengawas sekolah, tak ada ruginya kalau kita jumpa Cikgu Naza, nanti boleh saya temankan awak,” Dany menawarkan diri. Sesekali Dany tersenyum tawar.
Selepas membayar makanan, mereka meninggalkan gerai Mak Jah. Agak berat juga Nisa untuk berpisah dengan Dany pada petang itu. Nisa merasakan antara dirinya dengan Dany seolah-olah ada  chemistry. Keserasian dalam fikiran dan tindakan menjadikan mereka pasangan yang kelihatan begitu ideal. Keakraban mereka tidak menjejaskan prestasi pelajaran. Itu yang menyebabkan rakan-rakan mencemburui mereka. Nisa menghantar Dany sampai ke penghujung jalan. Dany menunggu bas Intradesa di situ. Selepas Dany menaiki bas, perlahan-lahan Nisa melangkah meninggalkan perhentian bas itu. Sambil melangkah,  sesekali Nisa memerhatikan gelagat manusia di taman botani. Dia sengaja membiarkan tudung yang dipakainya terbuai-buai ditiup bayu petang. Sesekali tiupan bayu petang yang agak nakal membuatkan susuk tubuhnya jelas kelihatan.  Menyedari hal itu Nisa memperlahankan langkahnya. Malu.
Nisa bertekad untuk menyampaikan cadangannya kepada Cikgu Naza. Selepas membaca surat pembaca kiriman Madam Lee, Nisa terpanggil untuk memberikan sedikit sumbangan idea. Biasanya Cikgu Naza menghargai buah fikiran pelajar-pelajarnya.  Cikgu Nazalah satu-satunya guru disiplin yang di mahu berkongsi dan mendengar masalah pelajar.   


Nisa melangkah dengan begitu bersemangat pada pagi itu. Langkahnya diiringi dengan seribu harapan. Harapannya satu cuma. Nisa mengharapkan agar Cikgu Naza sudi mendengar cadangannya atau sekurang-kurangnya memberikan ruang kepadanya untuk melontarkan idea. Nisa begitu tekad untuk membantu pihak pengurusan disiplin sekolah menangani masalah salah laku disiplin di sekolahnya. Sejak akhir-akhir ini masalah disiplin menjadi buah mulut masyarakat. Rata-rata ibu bapa melahirkan kebimbangan terhadap kegiatan merempit dalam kalangan pelajar. Memang benar. Nisa sering memerhatikan gelagat pelajar-pelajar lelaki seawal tingkatan satu yang menghabiskan masa di sekitar pekan itu. Kegiatan merempit akan menjadi lebih aktif apabila senja melabuhkan tirainya sementara kegelapan malam pula menjadi perisai yang menjanjikan kekebalan kepada mat-mat rempit. Pernah juga Nisa mengorek rahsia yang terbuku di hati Faisal. Mengapa Faisal merempit. Tidak takutkah dia sekiranya berlaku kemalangan ke atasnya. Tidakkah Faisal berasa bimbang kiranya ibu bapanya terpaksa menerima berita kepergiannya dalam usia yang beigtu muda. Tidakkah Faisal risau tentang masa depannya yang gelap tentunya.  Namun Nisa hampa apabila Faisal memberitahunya semua yang dilakukan adalah untuk bersuka-suka sementara masih muda.
“Nisa, cadangan awak tu memang bagus, saya bangga dengan awak Nisa, saya bangga dengan keperihatinan awak sebagai ketua pengawas di sekolah ini. Insyaallah saya akan membawa cadangan awak tu dalam mesyuarat  jawatankuasa disiplin minggu depan. Cuma…,” terhenti Cikgu Naza di situ.
“Cuma apa cikgu? Adakah cadangan saya tadi tidak dapat dilaksanakan di sekolah ini, adakah cadangan saya tadi terlalu ideal, sehingga mungkin akan menyukarkan pihak sekolah? Sebagai pelajar yang cintakan sekolah ini , saya tak nampak di mana cacat celanya cadangan saya tadi.” Petah Nisa melontarkan hujahannya. Sebagai panel forum di sekolah itu, kepetahan Nisa dalam melontarkan ideanya memang diakui oleh semua guru. Rakan-rakan pelajar juga turut mengagumimya.
“Baginilah Nisa, cadangan awak tu perlu diperhalusi, maksud saya adalah lebih baik sekiranya awak dapat menyertakan kertas kerjanya, saya minta awak peruntukkan sedikit masa untuk menyiapkan kertas kerja itu, saya pasti akan mendapat sokongan daripada guru-guru disiplin nanti,” terang Cikgu Naza.
“Oh, maafkan saya cikgu, saya dah tersalah sangka terhadap cikgu, kalau begitu insyaallah, saya akan menyiapkannya dalam masa terdekat ini,” berbunga hati Nisa dengan penjelasan Cikgu Naza tadi. Setelah mengucapkan terima kasih, Nisa melangkah keluar meninggalkan bilik operasi pengawas dengan penuh megah bak kesatria yang baru menumpaskan musuhnya. Nisa berazam untuk menguak kabus masalah yang memasung jiwanya dalam kenanaran.
Nisa segera mencari Dany. Dia mencari Dany di perpustakaan. Dany tiada di sana. Nisa mencari Dany di kantin. Dany juga tidak kelihatan di situ. Nisa mencari Dany di makmal fizik. Pada kebiasaannya Dany banyak menghabiskan masanya menyiapkan Peka Fizik. Dany memang meminati mata pelajaran fizik berbanding dengan mata-mata pelajaran yang lain.
“Dany, saya ada satu perkara nak bagi tahu awak, saya harap awak dapat menyimpan rahsia ini,”  Nisa terdengar suatu suara lunak dan manja . Nisa cuba mengamati-amati suara itu.
“Rahsia apa pula ni Ayu?” tanya Dany tanpa memandang Ayu. Ayu memang cuba memancing Dany. Ayu amat meminati Dany. Dany memang perasaan perubahan Ayu sejak kebelakangan ini. Namun Dany menguatkan tekad untuk tidak menghumbankan dirinya dalam kancah percintaan.sekurang-kurangnya sehingga dia menamatkan alam persekolahannya.
“Awak tahu tak Dany, sebenarnya ….ah agak berat nak saya katakan…awak tentu tak percaya mendengarnya nanti,” Ayu cuba mencari perhatian Dany.
“Ayu, kalau ia penting sangat , ceritakanlah kepada saya, “ jelas Dany sambil memandang Ayu.
Ayu Berjaya memancing Dany. Dany mengalihkan perhatiannya. Ayu mengambil kesempatan ini dengan sebaik-baiknya. Bukan mudah untuk mendapatkan peluang keemasan seperti ini.
“Dany, saya kasihan melihat awak, maksud saya sejak belakangan ini saya perhatikan awak begitu rapat dengan Nisa, saya risau, yalah sebagai kawan saya rasakan saya ada hak untuk menolong awak,” Ayu cuba berteka-teki dengan Dany.
“Ayu, apa maksud awak, kenapa awak cuba mengaitkan saya dengan Nisa, awak tahu saya amat menghormati Nisa,” jelas Dany tanpa berselindung.
“Itu zahirnya Dany, itu hanya suatu dimensi yang awak boleh nampak, sedangkan suatu dimensi lain yang awak tak mampu melihatnya, Nisa bukanlah gadis yang awak sangka, yang awak kagumi, yang awak hormati,  percayalah kata –kata saya Dany,” bersungguh-sungguh Ayu cuba menyakinkan Dany.
“Berterus teranglah Ayu, apa yang awak cuba katakan pada saya ni,” terpacul kegopohan Dany.
“Awak tahukan Dany, kenapa Nisa rapat dengan awak? Sebenarnya dia hanya nak mempergunakan awak untuk mencapai cita-cita peribadinya. Dia hanya nak memperbudak-dudakkan awak. Awak hanya menjadi kuda tunggangannya sahaja, akhirnya nanti awak yang rugi. Awak akan ditinggalkannya. Awak akan menyesal masa tu. Tapi segala-galanya sudah terlambat,” kata Ayu.
“Antara saya dengan Nisa tak ada apa-apa hubungan selain rakan sekelas.Saya akui memang rapat dengannya tetapi bukan bermakna kami sedang bercinta, kami punya prinsip, kami punya pegangan yang perlu dipertahankan,” tegas sahaja nada suara Dany, serpihan kekesalan tersemat di sanubarinya.
“Awak tak tahu ke Dany, idea awak tentang kegiatan merempit pelajar-pelajar sekolah ini telah dipanjangkan kepada Cikgu Naza. Kasihan awak Dany, awak berbincang dengannya tetapi Nisa yang akan mendapat pujian. Lembu punya susu sapi dapat nama,” kata Ayu lagi.
“Saya berbangga dengan Nisa, saya pun tak sempat untuk menemaninya menemui cikgu Naza, awak tahukan saya perlu menyiapkan peka fizik ini,” kata Dany.
“Suatu yang awak perlu tahu Dany, sebenarnya Nisa ada skandal dengan Cikgu Naza, awak tak merasakannya Dany?  Awak tak rasa akan kehilangannya  Dany?” tanya Ayu.
“Skandal apa pulak ni Ayu, awak jangan cuba menaburkan fitnah Ayu, besar dosanya, saya tak sanggup menanggungnya Ayu,” Dany berterus-terang.
“Saya dengan Cikgu Naza akan meminang Nisa pada cuti Tahun Baru Cina ni, melepaslah awak Dany,” Ayu masih tidak berputus asa.
“Kalau dah itu suratan  takdir, sebagai rakan saya amat menghormati keputusannya, sebagai kawan juga saya amat mengharapkan dia bahagia dengan keputusannya, saya mahu melihat Nisa gembira. Awak tak gembira ke , kalaulah benar kata-kata awak tadi?” kata Dany.
“Saya benar-benar kasihan dengan awak Dany, maafkan saya, saya juga mahu melihat Nisa gembira dan dalam masa yang sama saya tak mahu melihat awak kehilangannya Dany, Dany….saya sedia menggantikan tempat Nisa dalam hati awak..itupun kalau awak sudi menerima saya,”  tanpa segan silu Ayu meluahkan isi hatinya.
“Ayu, sudahlah tu,  lupakanlah hasrat awak tu, saya sanggup tinggalkan keluarga saya semata-mata mahu mencapai impian saya di sini, terima kasihlah atas perhatian awak selama ini,” kata Dany sambil kembali meneruskan kerjanya.
Nisa termangu mendengar betapa Ayu, rakannya yang dipercayai selama ini telah menikamnya dari belakang. Tuturnya bertangkai kedurjanaan bersalut emas berkilauan. Tergamak kau Ayu. Tergamak kau perlakukan aku sebegini. Apa salahku pada Ayu. Adakah kerana kemiskinan aku maka kau perlakukan aku begini…aku punya harga diri Ayu. Tanpa dipinta air jernih bertakung dilekopak matanya.
Selepas menyiapkan peka Fizik, Dany berhasrat hendak menemui Nisa. Puas dia mencarinya di merata  kawasan sekolah namun tidak ditemuinya. Dany bingung. Ke mana Nisa? Sakitkah dia? Kemana dia taka da di sekolah petang tu. Dany bertekad untuk mencari Nisa di rumahnya. Sebelum sampai di rumah Nisa, Dany singgah di gerai Mak Jah untuk membelikan sedikit kuih sebagai buah tangan. Bolehlah nanti dimakan semasa mereka berbincang.
“Kalau tak silap makcik, awak ni Dany kan, kawan Nisa? “ tanya Mak Jah.
“Ya, makcik tak tersilap orang, Saya nak ke rumah Nisa. Pagi tadi dia tak pergi ke sekolah. Tu yang saya datang ni,” kata Dany.
“Pagi tadi ada makcik Nampak Nisa keluar dengan membawa sebuah beg besar,  nak balik kampung katanya,” terang Mak Jah.
“Balik kampung?” terlopong sedikit mulut Dany.Terpercik secebis kejutan di wajah Dany.
“Ya, katanya dia nak balik kampung, ada hal sedikit, penting katanya, dia tak beritahu awak ke Dany?” tanya Mak Jah.
“Er, tak pula…,” Dany tunduk sambil menguis-kuis tanah dengan hujung kasutnya Admiral hitamnya. Fikirannya ligat mencari sebab yang mewajarkan Nisa pulang ke kampung. Benarkah kata-kata Ayu tadi?


                                   
“Nisa, tahniah Nisa, buah fikiran awak tempuh hari telah saya bawa dalam mesyuarat lembaga disiplin sekolah. Nampaknya Tuan Pengtua menghargai pendapat awak tu, beliau telah mengarahkan saya untuk memperincikan cadangan awak tu, itulah sebabnya saya panggil awak ke sini,” kata Cikgu Naza sambil diperhatikan oleh Dany, Ayu, Wawa, Mirul dan Nabil.
“Terima kasih cikgu,” jawab Nisa ringkas.
Mendengar jawapan yang tidak bermaya daripada Nisa telah membuatkan air muka Cikgu Naza berubah.
“Kenapa Nisa? Awak tak gembira ke dengan perkembangan ini? Awak... awak berhak untuk berbangga, “ Cikgu Naza menambah.
“Maafkan saya cikgu, saya minta diri dulu, badan saya rasa tak sihat, maafkan saya cikgu,” Nisa minta diri.  Sebenarnya jauh di lubuk hatinya Nisa masih teringatkan kata-kata Ayu tempuh hari. Nisa sedang mengumpulkan kekuatan untuk menghadapi situasi tersebut. Nisa meninggalkan Cikgu Naza dan rakan-rakan pengawasnya. Mereka buntu. Nisa bingkas bangun dan berlalu pergi. Dany mengiringi langkah Nisa dengan ekor matanya. Mungkin Dany dapat mengagak mengapakah Nisa berkelakuan demikian pada hari itu.
“Baiklah, pelajar-peljar semua boleh bersurai.  Dany dan Ayu sila tunggu sebentar,” tegas nada suara Cikgu Naza.
Dany menunggu bagai pesalah yang menunggu hakim menjatuhi hukuman terhadap kesalahannya. Yang tinggal hanyalah keresahan dan kebimbangan yang bertali-temali. Sementara itu Aayu tidak begitu ambil pusing terhadap situasi itu. Ayu duduk di bilik operasi pengawas itu . Ayu menyandarkan badannya, santai. Ayu mencapai majalah Dewan Siswa,  Ayu membelek-belek buku itu tanpa membacanya.
“Ayu, Dany, sebagai sahabat baik Nisa, saya percaya awak tentunya maklum tentang perubahan padaNisa, biasanya Nisa begitu fokus dalam setiap perbincangan, hari ini saya perhatikan Nisa bagaikan telah kehilangan dirinya, apa yang berlaku?” suara Cikgu Naza bagaikan halilintar membelah gegendang telinga Dany. Mestikan aku menceritakan kisah sebenarnya kepada cikgu Naza. Dany dalam dilema. Dia tidak mahu memalukan Ayu di hadapan Cikgu Naza. Dany tidak mahu merosakkan reputasi Ayu sebagai pelajar pintar di se kolah itu. Kedudukan Ayu sebagai anak YB perlu di pertimbangkan. Fikiran Dany berkecamuk.
“Cikgu,…nantilah saya akan cuba untuk berkongsi maklumat dengan Nisa, saya rasa saya perlu membantunya ,  kalau dia ada masalah…saya akan cuba….,” terputus Dany di situ. Ujarannya berbaur tekad dan iltizam yang semakin padu.
“Cikgu, saya tak fikir Nisa masih berminat untuk bersekolah, saya lihat dia semakin kehilangan fokus dalam pelajaran, dalam kelas pun saya lihat dia lebih banyak mengelamun, kalaupun dia ada masalah, orang lain pun ada masalah, biarlah dia selesaikan sendiri,” kata Ayu dengan nada yang begitu angkuh.
“Tak baik kita berburuk sangka, Nisa tetap kawan awak, cuba-cubalah bantu dia,” Cikgu Naza mengingatkan Ayu dan Dany.
Dany meangguk-anggukkan kepalanya. Ayu pula seperti biasa akan memuncungkan mulutnya ika ada sesuatu yang tidak disenanginya. Dany risau dengan masa depan Nisa, peperiksaan STPM pula semakin hampir . Hanya kira-kira tiga minggu lagi. Mampukah Nisa menghadapi saat-saat kritikal itu. Moga kau tabah menghadapi semuanya Nisa, doa Dany.
Dany melangkah , satu, satu, meninggalkan bilik operasi pengawas. Tekadnya hanya satu, yah…. 








No comments:

Post a Comment