Wikipedia

Search results

Monday, 17 June 2019

Kajian Novel Di Sebalik Dinara


ULASAN NOVEL DI SEBALIK DINARA

Tema

Persaingan dalam dunia sains.

Novel ini mengisahkan sebuah persaingan dalam penciptaan sains dan teknologi sehingga menghapuskan nilai kemanusiaan. Pada awalnya Karl dapat menerima Medina@Marilyn sebagai pembantu penyelidiknya. Tetapi apabila dia berasakan Marilyn lebih hebat daripadanya, dia mula merancang sesuatu untuk melenyapkan pesaingnya itu. Marilyn dijadikan bahan uji kaji sehingga akhirnya dia menjadi gila. Walaupun dikatakan gila oleh kebanyakan orang, Marilyn tetap meneruskan dendamnya untuk menjatuhkan Karl. Dia meneruskan ciptaan sainsnya dan akhirnya dapat menyebarkan virus ke dalam sistem komunikasi terbaharu yang dihasilkan oleh Karl iaitu Dinara.

Persoalan

1. Kecanggihan teknologi pada masa hadapan
·        Kelengkapan serba canggih di tempat kerja Aqram, Dr Maxi, Khairul Anwar dan Farisha di Soft Lab, Cyberjaya.
·        Rumah Farisha juga dilengkapkan alat keselamatan yang canggih seperti ‘retinal scanner’dan interkom.

2. Ketaksuban sesetengah golongan manusia mengejar kemajuan sains dan teknologi sehingga mengabaikan nilai kemanusiaan.
·        Karl terlalu taksub untuk membuktikan kehebatannya dalam ciptaan sains sehingga melupakan aspek kemanusiaan. Karl telah mengorbankan ramai manusia dan menjadikan mereka sebagai bahan kajian.
·        Karl menanam pelbagai implan dan memasukkan pelbagai ubat dalam tubuh anaknya untuk menjadikannya genius dan mampu meneruskan kepandaiannya dalam bidang sains.

3. Kasih sayang sesama ahli keluarga
·        Azraai sangat menyayangi adik angkatnya, Farisha. Dia sentiasa memastikan keselamatan adiknya dalam keadaan yang terbaik.
·        Azraai telah memasang dan memantau sistem keselamatan di apartmen adiknya. Contohnya Azraai telah memasang ‘retinal scanner’ dan interkom di pintu masuk rumah Farisha untuk memantau dan memastikan keselamatannya.

4. Kepincangan keluarga yang berlaku dalam kalangan masyarakat.
·        Karl tidak menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami dengan baik. Dia mengajak isterinya, Rusmina untuk meninggalkan agama.
·        Rusmina telah diseksa hingga cacat apabila enggan mengikut Karl meninggalkan agama dan hidup  sebagai ateis.

5. Kasih sayang seorang ibu kepada anaknya.
·        Marilyn@Medina sangat sayang akan anaknya, Farisha. Dia bimbang anaknya akan mati akibat uji kaji dan penanaman pelbagai ubat ke dalam badan oleh Karl. Dia melarikan anaknya dan diberikan kepada keluarga angkat.
                          
Watak dan perwatakan

Farisha
·                     ·        watak utama dalam novel Di Sebalik Dinara
·                     ·        berusia dalam lingkungan umur 26 tahun
·                     ·        seorang gadis yang genius dan pakar dalam penggodaman IT
·                     ·        Seorang adik yang penyayang
·                     ·        Anak kandung kepada Medina@Marilyn dan Karl
·                     ·        Berhati-hati dalam membuat keputusan
·                     ·      Seorang yang amat mementingkan kesempurnaan. Pakaiannya disusun mengikut kategori dan warna. Semua benda akan disusun mengikut kategori, warna, kegunaan dan pelbagai peraturan yang diciptanya sendiri.


Shida
·                     ·        Kawan serumah dengan Farisha
·                     ·        Rajin membaca
·                     ·        Berkelulusan dalam bidang undang-undang tetapi memilih untuk menjadi penulis
·                     ·        Ditawarkan untuk menulis rencana dan biografi Dinara
·                     ·        Menjadi pengganti Farisha untuk berhubung dengan Karl secara bawah sedar


Azraai
·                     ·        Abang angkat Farisha
·                     ·        Sangat mengambil berat dan sayang akan adik angkatnya, Farisha
·                     ·        Menjadi tempat rujukan Farisha untuk membuat keputusan
·                     ·        Merahsiakan penyakit yang sedang dihidapi daripada pengetahuan Farisha
·                     ·        Menghidapi penyakit jantung


Rosman
·                     ·        Rakan kongsi Farisha
·                     ·        Bersikap materialistik dan mementingkan wang
·                     ·        Mengambil berat masalah Farisha


Aqram
·                     ·  Lelaki yang ditemui oleh Farisha di Lapangan Terbang Senai dan duduk di sebelahnya dalam penerbangan dari Senai ke Kuala Lumpur.
·                     ·        Seorang yang tampan, kemas dan sangat sempurna penampilannya.
·                     ·    Pekerja di Soft Lab. Cyborg ciptaan Karl yang menggunakan tubuh adik kandung Karl bernama Akeem. Sebelum menjadi Aqram, Akeem ialah seorang lelaki OKU.


Alia
·                     ·        Seorang pekerja senior di Soft Lab
·                     ·        Perawakan wajah yang cantik
·                     ·   Cyborg pertama ciptaan Karl yang menggunakan tubuh bekas isteri Karl bernama Rusmina. Mempunyai perasaan cemburu dengan mana-mana wanita yang rapat dengan Karl
·                     ·        Sangat menyayangi Karl.
·                     ·        Kurang sabar dan cemburu.


Karl
·                     ·        Seorang saintis hebat yang mencipta pelbagai teknologi
·                     ·        Saling bersaing kehebatan dalam bidang teknologi dengan Marilyn@Medina
·                     ·        Bermusuh dengan Marilyn@Medina kerana persaingan dunia sains
·                     ·        Bapa kandung Farisha
·                     ·        Menghidapi kanser usus tahap 4 dan dirawat di bilik khas dalam rumah agamnya di Puchong.


Medina@Marilyn
·                     ·        Wanita keturunan Portugal
·                     ·        Cantik, putih dan berambut keriting
·                     ·        Bijak dan hebat dalam bidang sains
·                     ·        Banyak membantu dalam kerja-kerja penyelidikan Karl
·                     ·        Berdendam dengan Karl kerana persaingan dunia sains


Nilai

1. Kesyukuran
Farisha bersyukur kerana dia dijadikan anak angkat dan membesar dalam keluarga Islam. Dia tidak dapat membayangkan jika dia membesar dengan didikan bapa kandungnya, Karl

2. Kasih sayang
Hubungan kasih sayang antara dua beradik  yang cukup jelas antara Farisha dan Azraai. Azraai sangat mengambil berat perihal keselamatan adiknya sehingga sanggup memasang ‘retinal scanner’ dan interkom yang bersambung ke rumahnya.

3. Kebijaksanaan
Farisha seorang gadis yang sangat bijak dalam teknologi dan telah terbukti dapat menggodam sistem komputer dengan hebat. Kebijaksaan dia berpunca daripada implan yang telah dipasang di badannya  sejak kecil dan pelbagai jenis ubat untuk menjadikannya genius telah dimasukkan ke dalam badaannya oleh bapanya, Karl.

4. Kegigihan
Marilyn@Medina gigih meneruskan kehidupannya walaupun ramai orang menggelarkannya wanita gila. Dia juga gigih meneruskan ciptaan sainya bagi menyaingi Karl, lelaki yang pernah dicintainya. Selain itu, dia juga gigih mencari anaknya yang hilang dan diserahkan kepada keluarga angkat.

5. Kepatuhan kepada ketua
Aqram dan Khairul Anwar sangat patuh kepada arahan ketuanya iaitu Dr Maxi dan Karl walaupun kerap dimaki hamun oleh Karl. Mereka juga sanggup meneruskan misi mencari Farisha untuk menyelamatkan Dinara walaupun banyak rintangannya.

6. Bekerjasama
Rosman dan Farisha saling bekerjasama untuk membangunkan syarikat kongsi mereka iaitu Secured Shell. Mereka juga bekerjasama untuk menjalankan projek mini yang ditawarkan oleh Soft Lab.

Aqram, Dr Maxi, Khairul Anwar dan Alia saling bekerjasama untuk mencari Farisha dan menyelesaikan masalah dalam Dinara. Mereka selalu berbincang untuk kepentingan Dinara.

 PENGAJARAN

1. Kita hendaklah menyayangi ahli keluarga kita.
Walaupun Azraai tahu Farisha hanya anak angkat dalam keluarganya, dia sangat sayang kan adiknya itu. Dia selalu mengambil berat dan memantau pergerakan adiknya. Dia juga memasanga alat kawalan keselamatan di apartmen Farisha. Dia juga selalu menjadi tempat rujukan adiknya untuk banyak perkara.

2. Kita hendaklah memanfaatkan teknologi untuk kesejahteraan manusia.
Karl dan Marilyn saling bersaing dalam membangunkan sains sehingga hampir mengorbankan zuriat sendiri. Anak yang masih kecil telah ditanam dengan pelbagai implan dan ubat untuk menjadikannya genius tanpa diberikan ubat bius.

Karl turut mengorbankan manusia lain untuk meneruskan uji kajinya. Contohnya, untuk menghasilkan cyborg ciptaannya seperti Alia dan Aqram, Karl telah mengorbankan 2 orang manusia yang disayanginya iaitu Rusmina dan Akeem.

3. Kita hendaklah berfikir sebelum membuat keputusan.
Farisha tidak tergesa-gesa menerima tawaran Aqram dan Soft Lab untuk projek mini bernilai tinggi. Sebaliknya, Farisha meminta pandangan abangnya yang lebih berpengalaman iaitu Azraai.

4. Kita haruslah menghormati orang yang berada di sekitar kita
Wanita yang ditemui oleh Farisha di Lapangan Terbang Senai tidak seharusnya bercakap di telefon dengan suara yang kuat sehingga mengganggu orang lain di sekitarnya.

5. Kita haruslah menyempurnakan amanah yang diberikan kepada kita dengan baik.
Dr Maxi berusaha untuk menunaikan amanah yang diberikan oleh Karl iaitu mencari Farisha sehingga berjumpa. Farisha amat penting untuk menyelamatkan masa depan Dinara.  

LATAR

Latar Masa
1. Malam
Farisha sampai di pintu apartmennya pada jam 10 malam. Dia cuba membuka pintu dengan mengimbas kad pintar miliknya tetapi gagal. Dia menekan interkom minta bantuan teman serumahnya, Shida untuk membuka pintu.

Pada waktu malam juga Farisha mengunjungi rumah abangnya untuk makan malam. Pada waktu itu jugalah Farisha mendapat tahu dua berita yang menyedihkannya iaitu berita penyakit abangnya dan kenyataan yang dirinya hanya anak angkat kepada keluarga Azraai.

Pada waktu malam juga, Farisha bersama Rosman dan Shida berbincang di pejabatnya Secured Shell untuk meneliti dokumen undang-undang projek mini yang ditawarkan oleh Soft Lab. Perbincangan tamat pada pukul 11.30 malam kerana Farisha sakit kepala.

Karl meninggal dunia pada jam 7.00 malam. Ketika itu semua yang terlibat dalam projek Dinara ada di rumah agam Karl. Alia meraung, manakala Medina menangis teresak-esak.

2. Pagi / Siang
Farisha gelisah menunggu kedatangan Rosman yang berjanji untuk mengambilnya. Mereka berjanji untuk bersama-sama ke simposium di Hotel Renaissance. Ketika itu jam menunjukkan angka 8.15 pagi. Simposium akan bermula pada jam 9.00 pagi.

Pada waktu pagi hari yang sama iaitu pukul 10.30 pagi, Farisha dan Rosman bertemu Aqram di Hotel Rennaisance. Aqram menawarkan projek mini di Soft Lab untuk mereka berdua. Farisha menyalin alamat e-mel Aqram.

Peristiwa Shida dan Farisha memulakan kerja di Soft Lab juga berlaku pada waktu pagi. Shida bertemu dengan Khairul Anwar, manakala Farisha bertemu dan mendapat penerangan daripada Aqram. Pada waktu pagi juga, mereka berdua bertemu Alia dan nampak sesuatu yang pelik pada wajah Alia.

3. Petang

Pukul 4.30 petang, Shida bertemu Dr Maxi. Dia disoal tentang penyakit Farisha yang tiba-tiba pengsan di tempat kerja.

Pada waktu petang juga, Shida menyelongkar peti sejuk dan bilik Farisha untuk mencari jika ada ubat yang dimakan oleh Farisha. Pada masai itulah, Shida terjumpa fal yang mengandungi dokumen asal usul farisha. Dia berasa sangat bersalah kerana mencuri tengok barang peribadi Farisha.

Pada waktu petang juga Rosman dan Shida melawat Farisha di wad 2B, tempat Farisha mendapat rawatan. Rosman berasa bersalah kerana membiarkan Farisha seorang diri melaksanakan projek mini di Soft Lab. Mereka mendapati Farisha masih lemah, tidak boleh banyak bercakap. Mereka minta diri untuk pulang dan berjanji akan datang pada hari esok.

Pada waktu petang juga 2 orang suruhan Marilyn@Medina iaitu Farid dan Amin menyusup masuk ke dalam wad Farisha dan cuba menembusi pemikiran Farisha dengan memasang peranti di pelipis kiri Farisha. Mereka merakamkan setiap isyarat yang diterima.

Latar tempat
Bilik kerja Farisha di Soft Lab
Farisha ditunjukkan bilik yang akan digunakannya untuk menjalankan projek mini Soft Lab. Di situ juga Farisha mendapat penerangan daripada Alia dan Aqram tentang tugasannya. Bilik tersebut dilengkapi dengan dinding dwifungsi, boleh juga digunakan sebagai ‘touch screen’.

Di bilik ini juga, berlakunya sesi komunikasi Farisha dan Shida dengan saintis yang hebat bernama Karl. Komunikasi ini berlaku secara bawah sedar yang dikendalikan oleh Aqram, Khairul Anwar dan Dr Maxi. Perdebatan antara Alia dengan Dr Maxi juga berlaku di bilik ini.

Lapangan Terbang Senai
Farisha menunggu penerbangan dari Senai ke Kuala Lumpur. Di sini dia menyaksikan sikap manusia yang mementingkan diri, bercakap di telefon dengan kuat sehingga mengganggu orang lain.

Monorel – Stesen kereta api ke Puchong
Dalam perjalanan untuk ke rumah agam Karl bersama Aqram, Farisha dapat menemui seorang makcik dan OKU wanita yang memakai gelang getah berwarna ungu menandakan mereka sebagai pesakit kanser. Dia berbual-bual ringkas dengan wanita itu.

Rumah agam Karl di Puchong
Di sini Farisha dan Rosman dibawa oleh Aqram untuk bertemu Dr Maxi bagi membincangkan projek mini Soft Lab. Perbincangan berlaku melibatkan bidang tugas dan kos projek mini tersebut. Farisha terkejut dengan nilai projek mini yang agak tinggi iaitu RM1.5 juta.

Farisha dan Rosman turut dibawa berjumpa dengan Karl, saintis hebat yang membangunkan Soft Lab. Dia terlantar kerana sakit kanser usus tahap 4. Dia dirawat di rumahnya sahaja yang dilengkapi doktor dan jururawat.

Rumah  Azraai
Farisha mengunjungi abangnya untuk makan malam. Dia tidak menyangka akan menerima khabar yang sangat buruk daripada abangnya. Malam itu dia mengetahui rahsia penyakit abangnya dan kenyataan bahawa dia hanya anak angkat.

Latar masyarakat
1. Masyarakat yang mementingkan kasih sayang dalam keluarga.
Azraai dan Farisha saling menyayangi. Dua beradik ini saling mengambil berat dan risau akan keselamatan antara satu sama lain. Azraai kerap menelefon adiknya dan memasang iterkom yang bersambung antara apartmen Farisha dengan rumah Azraai.

2. Masyarakat yang mementingkan diri sendiri.
Wanita di lapangan terbang yang bercakap di telefon dengan suara yang kuat. Dia tidak pedulikan orang yang ada di sekelilingnya sehingga membuat Farisha berasa jengkel.

3. Masyarakat yang suka bersaing untuk menunjukkan kehebatan diri
Marilyn@Medina dan Karl saling bersaing untuk menunjukkan kehebatan masing-masing dalam dunia penyelidikan sains. Karl tidak dapat menerima kenyataan yang Marilyn lebih hebat daripadanya. Karl telah mensabotaj Marilyn sehingga dia menjadi gila.

4. Masyarakat yang celik ICT
Farisha, Marilyn@Medina dan Karl merupakan antara contoh masyarakat yang sangat hebat dalam dunia ICT. Mereka mampu mencipta program baharu dan mampu juga menggodam computer. Azraai juga seorang yang pakar dalam ICT dan mengaplikasikannya di rumahnya dan apartmen Farisha.

5. Masyarakat yang teguh memegang amanah / janji
Dr Maxi, aqram dan Khairul Anwar teguh memegang amanah Karl untuk mencari Farisha sehingga berjumpa. Mereka juga menjaga Farisha dengan baik kerana menunaikan amanah Karl. Hal ini demikian kerana, Farisha sangat penting untuk menyelamatkan  Dinara.

6. Masyarakat yang bijak
Farisha ialah seorang gadis yang sangat bijak. Walaupun baru sahaja mendengar penerangan ringkas tentang Dinara daripada Aqram, dia telah dapat mengesan kelemahan Dinara. Walaupun belum memulakan penggodaman, Farisha telah nampak banyak kelemahan Dinara. Kerana kebijaksanaannya itulah, dia diperlukan untuk menyelamatkan Dinara.

Sinopsis
Binaan Plot
1. Permulaan – Farisha berada di lapangan terbang untuk pulan selepas menghadiri mesyuarat di Nusajaya. Dia terasa sangat mengantuk kerana bangun awal pagi untuk berkejar dari Kuala Lumpur ke Nusajaya dan pulang ke Kuala Lumpur pada hari yang sama. Dia berkenalan dengan seorang pemuda di kapal terbang dan berjumpa semula semasa Farissha menghadiri symposium di Hotel Renaissance. Pemuda itu menawarkan projek mini yang yang bernilai tinggi di Soft Lab.

2. Perkembangan – Hari-hari seterusnya, Farisha memulakan tugasan di Soft Lab dengan ditemani oleh Aqram. Dia berkenalan dengan Dr Maxi dan juga saintis hebat bernama Karl. Farisha mula mengkaji projek yang akan digodamnya iaitu Dinara dengan bantuan Aqram dan Alia. Semasa bekerja di Soft Lab, Farisha dan Shida menemui pelbagai maklumat berkaitan projek Dinara. Shida menimbulkan beberapa kemusykilan tentang seorang pembantu penyelidik bernama Medina.

3. Konflik – Farisha berasa sangat terkejut dan sedih apabila mengetahui yang dia hanya anak angkat. Farisha menangis sepanjang malam dan tidak dapat melelapkan mata. Konflik juga berlaku di pejabat Farisha di Soft Lab, apabila Farisha jatuh pengsan dan dimasukkan ke hospital menyebabkan sesi komunikasi bawah sedar dengan Karl tidak dapat diteruskan. Aqram, Khairul Anwar dan Dr Maxi mengambil keputusan untuk menggantikan tempatnya dengan Shida.

4. Klimaks – Situasi semakin tegang apabila Shida terpaksa mengambil alih tempat Farisha untuk sesi komunikasi bawah sedar dengan Karl. Karl marah kerana dia hanya mahukan sesi komunikasi dilakukan dengan Farisha. Sementara itu, reaksi Shida sungguh tidak dijangka. Dia meronta-ronta dan membanting diri kerana kejutan situasi yang tidak pernah dialaminya. Karl masuk ke dalam tubuh Shida untuk menyelesaikan tugasan Dinara. Tiba-tiba Medina tiba di pejabat Dr Maxi untuk membalas dendam terhadap Karl. Berlaku perdebatan yang hebat antara Medina dengan Karl ( Shida ). Suasana di pejabat Dr Maxi sangat tegang. Semua watak ada di bilik Dr Maxi ketika ini.

5. Peleraian – Di rumah agam Karl di Puchong. Karl sedang nazak. Medina sangat terkejut dan menyesal kerana meninggalkan Karl. Setiap orang dibenarkan menemui Karl secara perseorangan. Medina menangis teresak-esak. Alia pula meraung. Sementara yang lain reda dengan situasi tersebut. Karl disahkan meninggal dunia pada jam 7 malam. Mayatnya dibakar dan abunya ditabur di Selat Melaka.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
SMK SERI MEDAN, BATU PAHAT
NAMA:………………………………………………………………………………………………………. TING. 4 BESTARI
Jawab soalan-soalan berikut.
1.       Huraikan sinopsis novel Di Sebalik Dinara karya Dayang . ( 7 markah)
2.       Huraikan persoalan-persoalan kemasyarakatan yang terdapat di dalam novel Di Sebalik Dinara.(7 markah)
3.       Huraikan persoalan-persoalan kemanusiaan yang terdapat di dalam novel Di Sebalik Dinara. ( 7 markah)
4.       Huraikan latar masa yang terdapat di dalam novel yang anda kaji beserta contoh-contoh yang sesuai. (7 markah)
5.       Huraikan tempat  yang terdapat di dalam novel yang anda kaji beserta contoh-contoh yang sesuai. (7 markah)
6.       Huraikan latar masyarakat  yang terdapat di dalam novel yang anda kaji beserta contoh-contoh yang sesuai. (7 markah)
7.       Huraikan nilai-nilai kemasyarakatan yang terdapat di dalam novel yang anda kaji. ( 7 markah)
8.       Huraikan nilai-nilai kemanusiaan yang terdapat di dalam novel yang anda kaji. ( 7 markah)
9.       Huraikan pengajaran-pengajaran yang terdapat di dalam novel yang anda kaji. ( 7 markah)
10.    Huraikan binaan plot novel yang anda kaji. ( 7 markah)
11.  Huraikan perwatakan watak utama dalam novel yang anda kaji dalam Tingkatan 4. (7 markah)
12.  HUraikan perwatakan watak sampingan dalam novel yang anda kaji dalam Tingkatan 4. ( 7 markah)

No comments:

Post a Comment